Academia.eduAcademia.edu

ASAL USUL BAHASA DAN BANGSA MELAYU

Abstract

PENGENALAN Melayu yang dilihat pada hari ini seperti yang tertakrif dalam Perlembagaan Malaysia adalah mereka yang berbangsa Melayu, beragama Islam serta mengamalkan cara hidup dan budaya Melayu. Itu adalah konsep Melayu yang tertulis pada masa ini. Sehubungan dengan itu, apabila berbicara mengenai Melayu di Malaysia khususnya, sudah pasti Melayu itu merujuk kepada sebuah kaum majoriti yang rata-ratanya adalah penganut agama Islam. Pernahkah terlintas di fikiran bahawa Melayu itu sebenarnya bukanlah satu kaum seperti yang tergambar dalam Perlembagaan, sebaliknya Melayu adalah sebuah bangsa yang meliputi seluruh Tanah Melayu, Kepulauan Melayu, dan Alam Melayu. Sudah pasti hal ini kedengaran agak aneh terutamanya dalam kalangan masyarakat yang bukan pengkaji bahasa atau linguistik. Hal ini demikian kerana bangsa Melayu sering disempitkan dengan maksud bahawa Melayu itu adalah kaum Melayu serta timbulnya dakwaan sesetengah pihak bahawa Melayu itu adalah pendatang dan bukan berasal dari Tanah Melayu. Bertitik tolak daripada perkara ini, sesebuah bangsa yang wujud di dunia ini mempunyai bahasa mereka sendiri. Hal ini berikutan kerana setiap bahasa yang ada di dunia ini mempunyai penuturnya. Begitu juga dengan bangsa Melayu, mereka mempunyai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi, bahkan bahasa Melayu pada suatu ketika dahulu bukan sahaja berfungsi sebagai alat komunikasi tetapi bahasa Melayu dahulu mempunyai peranan yang sangat luas. Antara peranan bahasa Melayu ialah sebagai bahasa lingua franca. Hal ini cukup jelas untuk membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa dan bahasa perantaraan yang sangat penting dalam hubungan perdagangan dua hala antara pedagang luar dengan pedagang di Melaka misalnya. Tambahan pula, bahasa Melayu juga pernah menjadi bahasa perhubungan dan bahasa diplomasi antara orang Siam dan pedagang yang datang ke 1