Kepentingan adat resam di dalam hidup masyarakat tidak kira apa bangsa sekalipun tidak dapat dinafikan. Adat tersebut bermula dari dalam perut ibu, kelahiran, perkahwinan sehinggalah kematian terdapat di dalam hidup semua masyarakat di Malaysia. Adat resam merupakan kebiasaan cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat yang dapat menggambarkan corak budaya masyarakat tersebut. ADAT RESAM MASYARAKAT MELAYU Kelahiran Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir. Melenggang Perut (Sewaktu Mengandung) Adat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.