Academia.eduAcademia.edu

Antisipasi Dalam Sukan

Abstract

Pemain-pemain yang hebat seperti Christian Ronaldo dan Lionel Messi kerap berjaya menjaringkan gol walau pun dikawal ketat oleh pemain lawan. Mereka secara konsisten dapat menjaringkan gol pada setiap musim perlawanan. Keupayaan pemain ini sentiasa bertindak dengan cemerlang kerana dikaitkan dengan kemahiran kognitif yang dimiliki oleh mereka dalam sukan bola sepak. Christian Ronaldo dan Lionel Messi sering berada dalam posisi yang betul dan dalam masa yang tepat pada setiap masa kerana berupaya meramalkan pergerakan bola dan pemain lawan. Keupayaan untuk berada dalam dalam posisi yang betul dan dalam masa yang tepat adalah berkait dengan kemahiran melakukan antisipasi yang dimiliki oleh mereka. Dewasa ini terdapat penambahan yang signifikan kajian-kajian yang dilakukan untuk menyiasat asas perbezaan kemahiran antisipasi dalam sukan balistik. Kebanyakan sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa memerlukan pemain memproses maklumat persepsi yang banyak dalam jangka masa yang singkat bagi menjamin kejayaan dalam sebarang keadaan (Abernethy, 1987). Dalam sukan sepak takraw umpamanya, pemain penerima perlu memproses maklumat secara berterusan seperti kekuatan dan kelemahan pihak lawan, frekuensi arah dan kelajuan bola yang dihasilkan oleh tekong lawan. Pemain juga perlu menyedari kedudukan mereka dalam gelanggang atau kedudukan anggota badan apabila menghadapi tekanan dari pihak lawan. Kluka (1999) mendefinisikan antisipasi sebagai keupayaan pelaku mengkoordinasi atau melakukan sinkronisasi respons motor mereka berdasarkan peristiwa-peristiwa luaran. Antisipasi adalah merupakan kemahiran yang melibatkan kebolehan mengetahui atau meramal siri peristiwa yang bertepatan dengan keadaan persekitaran (Tyldesley, 1981). Keputusan perlu dilakukan terlebih awal yang melibatkan pencarian visual tentang apa dan bila perlu dilakukan. Banyak kajian telah dilakukan dalam menentukan jenis maklumat yang dapat digunakan dengan lebih awal dan berapa banyak masa yang boleh dijimatkan melalui penggunaan kaedah antisipasi (Rosenbaum, 1980). Mereka menggunakan pelbagai aspek respons awal menjadi spesifik meninggalkan ciri-ciri umum sehingga rangsangan paling bermakna ditemui dan akhirnya rangsangan ini menjadi peringatan kepada pelaku untuk menghasilkan aksi (Abernethy, 1987). Sehubungan dengan itu isyarat paling awal dalam urutan invariants adalah merupakan kiu yang paling penting dalam melakukan persepsi dan pilihan respons. Berdasarkan kepada interpretasi ini, jelas menunjukkan strategi antisipasi boleh diramalkan berdasarkan kehadiran satu kiu mutlak yang bermakna. Kejayaan melakukan antisipasi boleh dilakukan dengan pengurangan jumlah urutan maklumat kepada hanya satu kiu atau corak kiu atau dikenali sebagai cue abbreviation (Lawther, 1972). Isu utama yang perlu dibahaskan di sini ialah sama ada hipotesis perbezaan dalam mengenal pasti maklumat awal dan kebolehan melakukan antisipasi boleh berlaku dalam situasi sebenar dalam pertandingan sukan. Antisipasi spatial dan temporal dapat memberikan kelebihan kepada pemain yang beraksi dalam sukan balistik. Sekiranya pemain penerima berjaya mengantisipasi dengan tepat kelebihan yang diperoleh secara semula jadi menjadi