Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
[email protected]
Rap
MENGANGKAT lagu tradisional Malaysia kepada irama jazz mungkin mampu menjadi tarikan terbaru buat penggemar muzik tanah air.
RTM, Aswara anjur konsert orkestra istimewa popularkan irama rakyat
bermula 22 Januari
MENGANGKAT lagu tradisional Malaysia kepada irama jazz mungkin mampu menjadi tarikan terbaru buat penggemar muzik tanah air.
Kementerian Penerangan Malaysia menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), mengadakan Konsert A Jazz Tibute To Malaysia Songs pada 22 hingga 24 Januari ini sebagai satu usaha untuk menarik minat generasi muda dan meningkatkan kegemilangan irama jazz.
Program hiburan yang berkonsepkan persembahan orkestra menampilkan himpunan lagu rakyat dan karya antarabangsa yang disusun semula komposer terkenal tanah air selain penuntut berbakat daripada Aswara.
Rektor Aswara, Datuk Omar Awang berkata, program berkenaan sememangnya satu permulaan baik serta perkongsian pintar membabitkan dua pihak yang mendidik atau melahirkan generasi berbakat dalam bidang seni.
“Kerjasama berkenaan mampu memberi landasan terbaik kepada pelajar untuk mengembangkan bakat. Di samping pendedahan daripada mereka yang berpengalaman seperti orkestra RTM di bawah bimbingan Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail manakala orkestra Aswara di bawah bimbingan Isabella Pek.
“Konsert berkenaan juga dijangka disiarkan secara rakaman di RTM. Kami mahu menjadikan 2009 sebagai tahun pengiktirafan buat Aswara. Sepanjang tahun lalu hanya 80 peratus sasaran yang diletakkan oleh pihak pengurusan berjaya dicapai.
“Dua daripadanya masih tidak tercapai iaitu pengajian warisan menerusi penubuhan fakulti pengurusan dan pelaksanaan program animasi.
“Mungkin disebabkan kesan ekonomi yang kurang baik menyebabkan kedua perkara itu terpaksa ditangguhkan. Kami berharap dapat melaksanakannya pada tahun ini. Sebagai institut pengajian tinggi yang melahirkan mahasiswa terlatih, kami juga berhasrat untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Untuk mendapat pengiktirafan itu, pihak pengurusan termasuk ahli akademik enam fakulti yang ada di Aswara perlu melaksanakan program dan berkerja keras pada tahun ini.
“Begitupun segala proses untuk mendapat pengiktirafan itu sudah dilaksanakan hampir 20 peratus. Kami menjangka dapat mencapainya menjelang penghujung tahun ini,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Konsert A Jazz Tibute To Malaysia Songs, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid dan pegawai kanan stesen televisyen RTM.
Konsert berkenaan menampilkan variasi persembahan dengan pelbagai tema dan konsep membabitkan alat muzik (instrumental). Antara lagu yang dipersembahkan, Enjit-enjit Semut, Nona Nona dan Variations On Kopi Susu.
Turut dalam senarai, lagu Hanya Sekejap nyanyian Sean Ghazi dan Pantai Gurauan (John AS ciptaan P Ramlee) selain lagu Jelingan Manja yang didedikasi untuk lagu irama malar segar.
Sementara tribute untuk lagu tanah air menampilkan lagu Cendering (Clarinet Razak) dan Kampung Jauh Di Mata gabungan irama gamelan.
Bagi segmen tribute Alfonso Soliano menampilkan lagu Air Mata Berderai nyanyian Dia Fadila dan Gadis Idaman gandingan trio jazz bersama trio Ahmad Shariff.
Bagi tema tribute untuk pengubah lagu generasi muda (Arrangers) – Aswara Workshop Band mempersembahkan medley lagu masyarakat Malaysia.
Diikuti tribute kepada James Boyle Trio yang menampilkan persembahan penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat dengan lagu Jauh-Jauh.
Tidak ketinggalan tribute kepada lagu latin seperti Nona Manis selain tribute lagu popular yang menampilkan nyanyian Sean Ghazi menerusi lagu Ku Impikan Bintang dan persembahan alat muzik dengan lagu Diari Seorang Lelaki, selain persembahan komposer kontemporari dengan lagu Kini Ku Kembali dan JB Blues Closing.
Selain konsert, beberapa aktiviti sudah dirancang Asrawa sepanjang tahun ini, antaranya bengkel bagi pelajar Fakulti Muzik.
Pihaknya turut melancarkan cakera padat (CD) ‘master score’ yang mengandungi 14 lagu tempatan yang digubah dalam bentuk jazz.
Di samping itu, akan berlangsung Bengkel Kewartawanan Teater pada 19 Februari, Kem Muzik Remaja Perpaduan (14 hingga 22 Mac), International World Music Symposium & Festival (5 hingga 12 Julai), Tari 2009 (14 hingga 18 Julai), Seminar Pendidikan Kesusasteraan (15 Ogos) dan Aswara Digital Festival (30 Oktober).
Harian Metro



You must be logged in to post a comment.