Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Faizal Tahir
Wira baru dalam industri hiburan genggam empat trofi pada Anugerah Industri Muzik Ke-15
DALAM kekalutan untuk membangunkan semula karier seninya yang pernah terhenti seketika, namun kembali diuji apabila terus dihukum lantaran kesilapan silam ternyata masih ada sinar yang menanti dalam perjalanan seni Faizal Tahir.
Anugerah Industri Muzik (AIM) 15 yang berlabuh di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam kelmarin menyaksikan sebutir lagi bintang seni berbakat besar lahir dengan segenap kelebihan untuk muncul sebagai wira baru industri hiburan.
Barangkali kepadanya bukan pengiktirafan yang dikejar, jauh sekali mengharap pujian melambung tinggi namun apa yang lebih utama adalah membawa karyanya ke tahap membanggakan.
Tidak hanya memburu kepuasan sendiri, Faizal membawa aspirasi besar untuk menyumbang sesuatu kepada industri muzik selepas sekian lama dibelenggu pelbagai masalah yang menyempitkan peluang kepada karya tempatan untuk berkembang.
Lupakan saja episod silam yang seboleh mungkin ingin dihapuskan daripada kotak ingatannya kerana AIM15 mengubat segala kedukaan itu.
Pengiktirafan tertinggi hasil kerja kerasnya menghasilkan nuansa baru dalam industri berakhir dengan sesuatu yang cukup manis, hanya bersandar kepada penerbitan sulung, Aku.Muzik.Kamu.
Dilancarkan enam bulan lalu, Aku.Muzik.Kamu meluncur laju untuk menjulang Faizal dengan pengiktirafan tertinggi yang menjadi idaman semua pengkarya muzik.
Meraih Album Terbaik, mengenepikan empat saingannya iaitu Melodi Ahlaan daripada Waheeda, Maulana (Rabbani) Eclecticism (Melissa Indot) dan Hadiah Daripada Hati (Datuk Siti Nurhaliza), Faizal melakar sejarah peribadi yang cukup bermakna terutama untuk dirinya yang masih hijau dalam industri hiburan.
“Kebelakangan ini banyak isu yang timbul apabila dikaitkan dengan Faizal Tahir namun pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk saya terus berkarya dan memberi sumbangan kepada industri muzik,” katanya.
Akui Faizal, anugerah Album Terbaik adalah pengiktirafan yang terlalu bernilai malah katanya, dia bagaikan tidak berdaya untuk menaiki pentas kerana tidak percaya kemenangan akan berpihak kepadanya.
Apatah lagi apabila menghadapi saingan daripada nama besar seperti Siti membuatkan bapa kepada dua cahaya mata itu langsung tidak meletak harapan besar.
“Jujurnya saya masih hijau dalam industri, masih banyak yang perlu saya pelajari untuk lebih memahami keperluan serta kehendak peminat.
“Pengiktirafan ini cukup besar dan penting untuk saya membina kerjaya, malah ia sebagai bonus terhadap segala usaha yang saya curahkan untuk memberi yang terbaik kepada album sulung ini,” katanya.
Turut membawa pulang tiga trofi lain, Faizal menghampakan kumpulan berpengalaman seperti Spider , MPire, Niskala dan Jinbara untuk meraih trofi Album Rock Terbaik.
Faizal sekali lagi bangkit dan membuktikan bintang yang dicipta menerusi pertandingan realiti juga mampu berdiri sama tinggi dengan penyanyi lain apabila menjulang trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki).
Untuk kategori itu, Faizal menewaskan Sohaimi Meor Hassan, Hazami serta dua penyanyi muda, Kaer Azami dan Aliff Aziz.
Kemenangan yang sekali gus membuang persepsi umum terhadap bintang realiti yang dilihat lebih mengutamakan populariti berbanding bakat yang menjamin tiket untuk terus bertahan dan dihormati.
“Tiada beza antara artis yang lahir daripada program realiti atau sebaliknya kerana apa yang penting adalah kemahuan. Ini yang saya mahukan dan lebih utama kemenangan ini adalah pengiktirafan atas hasil kerja saya.
“Syukur alhamdulillah dan ketika ini, fokus saya untuk membina imej yang baik dari segi karier untuk terus menghasilkan karya yang matang,” katanya.
Faizal yang mencipta nama selepas memenangi tempat kedua program realiti, One In A Million terbitan 8TV turut diiktiraf Artis Baru Terbaik menghampakan Atilia, Estranged, Kaer Azami dan Karen Kong.
Menyorot keputusan AIM15, tidak banyak kejutan yang hadir malah kebanyakan calon mengulangi semula kejayaan yang pernah mereka cipta sebelum ini.
Selepas kecewa kepada Jaclyn Victor pada malam AIM14, Siti merampas semula trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) menerusi album, Hadiah Daripada Hati.
Ia adalah kemenangan ke sembilan penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu yang sebelum ini mempertahankan trofi itu selama lapan tahun berturut-turut sejak memenanginya pada AIM 1999.
Siti turut mempertahankan trofi Album Pop Terbaik yang dimenanginya tahun lalu menerusi album Transkripsi selain lagu nyanyiannya, Cintamu yang digubah muziknya oleh Nai Kong memenangi Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia).
Membawa pulang tiga kemenangan daripada lapan pencalonan yang diterima Hadiah Daripada Hati membuktikan Siti terus unggul di persadanya yang tersendiri.
Selepas empat kali trofi Album Nasyid Terbaik berpindah tangan, tiga kali menjadi milik Raihan manakala AIM14 ia berada dalam genggaman Ahmadi Hassan, Rabbani kembali mengunggulinya menerusi album Maulana.
Penyertaan yang terhad dengan hanya tiga pencalonan, AIM15 juga tandus penyertaan bagi kategori Album Pop Etnik Terbaik dengan dua pencalonan yang dimenangi Waheeda menerusi Melodi Ahlaan menewaskan Azfar yang mempertaruhkan album Jatuh Cinta Pandang Pertama.
AIM15 juga mencatat detik manis kepada kumpulan rock hip hop, Pop Shuvit apabila menerima anugerah khas, Anugerah Kembara.
Selama tujuh tahun membina nama, kumpulan ini hanya dikenali segelintir peminat tempatan namun itu semua tidak mematahkan semangat mereka untuk membawa bakat ke peringkat antarabangsa.
Penerimaan daripada peminat di Jepun membuktikan anak tempatan mampu bersaing dan pengiktirafan yang diberikan AIM15 menjadi pencetus semangat untuk meneroka peluang lebih besar pada masa akan datang.
AIM15 turut mengiktiraf komposer dan pemuzik terkenal, Fauzi Marzuki sebagai penerima Anugerah Wirama atas sumbangannya kepada dunia seni.
Membawa tema perpaduan, AIM15 turut menyajikan persembahan yang variasi menyatukan sebahagian besar artis yang dicalonkan dalam pelbagai siri selingan nyanyian yang menghiburkan dan bertenaga.
Senarai pemenang AIM 15:
- Album Terbaik: Aku.Muzik.Kamu (Faizal Tahir)
- Lagu Terbaik: Izinku Pergi (Azlan Abu Hassan/Sulu Sarawak/Kaer Azami)
- Album Pop Terbaik: Hadiah Daripada Hati (Datuk Siti Nurhaliza)
- Album Rock Terbaik: Aku.Muzik.Kamu (Faizal Tahir)
- Album Nasyid Terbaik: Maulana (Rabbani)
- Album Pop Etnik Terbaik: Melodi Ahlaan (Waheeda)
- Album Inggeris Tempatan Terbaik: Eclecticism (Melissa Indot)
- Artis Baru Terbaik: Faizal Tahir
- Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki): Faizal Tahir
- Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita): Datuk Siti Nurhaliza
- Artis Harapan: Suki
- Album Cina Tempatan Terbaik: Here I Come (Andrew Tan)
- Album India Tempatan Terbaik: Martin Zamigano Kanmani (Martin Zamigano)
- Video Muzik Terbaik: Sangkar (Sean Chan/Atilia)
- Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Artis Luar Negara: Terlalu Cinta (Rossa)
- Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia): Cintamu (Nai Kong/Datuk Siti Nurhaliza)
- Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bukan Bahasa Malaysia): Last Breath (Hafiz Hamidun)
- Kulit Album Terbaik: After 8 (Jenny Sun)
- Rakaman Album Terbaik: After 8 (Nick Lee/JD Wong dan Illegal)
Powered by Berita Harian
You must be logged in to post a comment.