Archive | December, 2008

SOSEH SOSEH: Penonton Bengang Pelakon 'Over'

31 Dec

Rap
BUKAN sekali dua penghasilan drama atau filem daripada produksi tempatan yang mengetengahkan loghat daerah negeri tertentu menjadi tumpuan. Kebanyakan yang dihasilkan pasti mempunyai tarikan sama ada pertuturan, gaya dan corak persembahan pelakonnya.

SS perhatikan drama sebegini sentiasa mendapat perhatian sama ada penonton dari negeri berkenaan atau sebaliknya. Malah, perkembangan positif juga dapat dilihat selepas ditayangkan di layar perak atau televisyen menerusi drama bersiri.

Perkara sama turut dilalui drama terbitan JS Pictures, Ta’in yang mengetengahkan loghat negeri Perak dalam siri yang disiarkan di TV3, setiap malam Ahad.

SS difahamkan, ada penonton dari negeri itu marah dan tidak puas hati dengan lakonan teraju utamanya yang disifatkan menampilkan gaya yang agak melampau.

Mereka yang mengakui peminat setia siri itu memuji tindakan produksi milik Sheila Rusly menggunakan lokasi penggambaran di Parit, Perak dan tidak kurang juga apabila memaklumkan siri berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri.

Tapi katanya, dia kecewa melihat gelagat dan watak Kak Bab yang dilakonkan Shiela. Gaya percakapan dengan gerak mulut yang herut-berut (kata orang perak) seperti dibuat-buat.

Peminat itu juga menyatakan kekeliruannya dengan loghat perak yang ditampilkan Fauziah Nawi, Kaza dan Wahid Senario sebagai Tain.

Malah, dalam surat yang dikirimkan peminat itu berharap mana-mana penerbit atau produksi tempatan yang ingin mengetengahkan loghat dari mana-mana negeri sekali pun, biarlah berpada-pada.

Dia turut mencadangkan supaya penerbit atau produksi tempatan membuat kajian dan bertanya kepada masyarakat tempatan supaya tidak nanti orang tidak getik (benci) menontonnya.

Pada SS, apa saja drama atau filem yang diketengahkan produksi tempatan pasti mempunyai mesej dan pengajaran tersendiri. Begitupun cara, penyampaiannya berbeza bergantung kepada pengarah, pelakon dan produksi itu sendiri.

Harian Metro

Kehilangan Mereka Ditangisi

31 Dec

Oleh Mohd Nasif Badruddin
[email protected]

Rap
LUMRAH kehidupan, setiap yang bernyawa pasti akan rasai kematian, cuma yang membezakannya sama ada cepat atau lambat. Tidak terkecuali kalendar 2008 mencatat peristiwa sedih dengan kematian beberapa artis dan penggiat seni tanah air akibat pelbagai penyakit dan ada yang mati mengejut.

Awal 2008, kita dikejutkan dengan pemergian bekas Pengarah Radio RTM, Mohamed Safian Abdul Ghani, 70, yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 2 Januari lalu jam 9.45 pagi.

Kemudian, pada 30 Januari, penulis lirik dan pelakon, Rosli Khamis atau Loloq meninggal dunia jam 1.37 tengah hari di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur selepas koma beberapa hari akibat pendarahan otak.

Ketika menghembuskan nafas terakhir, isteri Allahyarham, Hariyah Yaacob, 36, berada di sisinya. Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10; Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh.

Selang 19 hari selepas kematian Loloq, kita kehilangan pula penulis lirik dan lagu, Salamah Basiron yang menemui ajal di Jurong West, Singapura pada 18 Februari, jam 3.15 petang pada usia 65 tahun akibat barah pangkal rahim. Allahyarham dikurniakan tiga anak; Ersin Diana, 37, Firdaus Ilham; 34, dan Ennie Mulyani Mohd Yunos, 31.

Allahyarham yang juga popular menerusi nama pena Hanimasra menghasilkan lebih 100 lagu dan lirik untuk penyanyi angkatan pop yeh yeh seperti Jefrydin, Karim Jais, Datin Rafeah Buang, Zam Zam, S Anida, Salim I dan Ida & The Zurah.

Selepas 15 tahun menderita penyakit kencing manis, pelakon veteran, Maimunah Abdullah, 72, akhirnya menghembus nafas terakhir di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, Khamis pada jam 6.30 pagi, 28 Februari lalu. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Melayu, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah membintangi drama, Pahit-Pahit Manis selain beberapa drama disiarkan RTM sekitar 1980-an di bawah arahan pengarah Rosli Jalil, di samping menjayakan watak ibu bersama pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hasan dan Azean Irdawaty.

Paling menyedihkan, pemergian pelakon Yazid Sobrani atau nama sebenarnya Abd Yaziz Sobrani, 44, yang meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi 17 Mac di Hospital Melaka selepas sekian lama mengalami komplikasi termasuk penyakit jantung dan paru-paru berair.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norashah Mohd Rashid, 43, dan lima anak iaitu Nurul Hazwani, 23, Mohd Shafik, 22, Nurul Intan Shafinaz, 16, Mohd Amirul Shafuan, 14, dan Muhamad Salehan, 13. Jenazah Yazid yang dilahirkan 17 Januari 1964 di Kuala Perlis dibawa ke kampungnya untuk dikebumikan di sana.

Sehari kemudian, Pengarah Kreatif dan Penata Bunyi, Abdul Jalil Ngah, 51, yang juga abang komposer Manan Ngah menghadap Ilahi kira-kira jam 6.30 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat sakit jantung.

Arwah yang dilahirkan di Kuala Terengganu meninggalkan seorang balu, Jalina Mustafa, 34, dan dua anak iaitu Adham, 11, dan Afrina, 8. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Meninggal pada hari sama, pelakon veteran era studio Jalan Ampas, Singapura, Mohd Ali Abd Rahman, 82, menghembuskan nafas terakhir jam 11.15 malam di kediaman adik perempuannya di Kampung Pasir, Changkat Jering, Perak akibat sakit tua.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan nama Ali Rahman dilahirkan di Terong, Changkat Jering, Perak pada 1926 dan meninggalkan lima anak, manakala isterinya sudah meninggal dunia.

Pada 1 April pula, pelakon dan pelawak, Yusni Jaafar Siddik, 62, meninggal dunia jam 2.30 pagi di Hospital Selayang akibat penyakit hati dan pendarahan dalam perut. Allahyarham meninggalkan lima anak iaitu Raja Iskandar, 41, Raja Ema, 39, Raja Izat, 37, Raja Emey, 30, dan Raja Erna, 23.

Sehari selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, penerbit dan pengarah, Datuk Meswan Dol, 51, atau Yuzwan Wahid meninggal dunia jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di sana selama tiga minggu.

Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim; anak, Zariyatul Akma, Mohd Helmi, dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

Bekas anggota kumpulan A To Z, Affendey Zainon, 39, atau Fendi meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi 23 April akibat diserang strok selepas menjalani rawatan tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Norma Md Akhir, 58, dan bapanya, Zainon Cha, 58.

Penyanyi popular era 60-an, Salim Ifi atau dikenali sebagai Salim I pula meninggal dunia jam 7.15 pagi 24 April di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat komplikasi paru-paru yang dihidapi.

Bintang Pop Yeh Yeh itu meninggalkan balu, Timah Osman, 66, dan lima anak, Zainuddin, 48, Zubaidah, 47, Jamal, Titin Suriati, 39, dan Rudy, 29, serta sembilan cucu. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Jalan Chua Chu Kang, Singapura.

Penyampai radio yang popular dengan panggilan Riqbal atau nama sebenarnya, Ahmad Alwani Amir Hamzah, 40, menemui ajal akibat angin ahmar di Hospital Putrajaya, jam 2.15 pagi pada 11 Mei. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, Hulu Klang.

Kemudian pemuzik dan komposer terkenal, Rahim Hamzah, 53, meninggal dunia kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Jun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat barah usus di hadapan isteri, Siti Aishah, 50, saudara- mara dan sahabat handai.

Allahyarham adalah anak kepada penggesek biola terkenal tanah air, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pernah menganggotai kumpulan The Stroller, The Falcon, Headwind dan Free Birds selain pernah mengiringi kumpulan Blues Gang pada penghujung 70-an dan awal 80-an. Allahyarham juga meninggalkan dua anak, Aryzam, 27, dan Aryzea Dora, 22, hasil perkahwinan pertama bersama bekas isteri, Endon Rani, 48.

Penulis lirik dan Pengarah Urusan Toba Records, Abdul Rahman Yusuf, 55 atau lebih dikenali sebagai Man Toba pula meninggal dunia jam 5.05 petang 27 Jun lalu akibat serangan jantung di kampung kelahirannya di Slim River, Perak. Allahyarham meninggalkan isteri, Norehan Ismail serta lima anak, Noor Izzudin, 27, Noor Nissa, 26, Noor Nadia, 22, Noor Nabila, 20 dan Noor Iman Aiman, 15.

Seniman veteran, Datuk Ahmad Mahmud, 85, yang popular dengan watak Dr Ismadi dalam filem Ibu Mertuaku pula menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya kira-kira jam 10 malam, 28 Ogos.

Allahyarham yang dilahirkan pada 3 Januari 1923 di Rembau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu, Datin Khatijah Mohammad, 80, serta tiga anak iaitu Rogayah, 56; Siti Fatimah, 54, dan Mohd Ariffin, 52. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, dunia seni kehilangan penulis lirik, Haron Abdul Majid, 59, yang meninggal dunia akibat penyakit barah otak dan kanser usus pada jam 8.48 pagi ketika umat Islam di Singapura selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 1 Oktober.

Pelakon popular era 1970-an, Mokhtaruddin Mohd Said (Mokhtaruddin), 59, pula kehilangan isteri, Sharifah Tahiyah Syed Mahmud, 51, yang kembali ke rahmatullah pada 29 Oktober lalu. Sharifah Tahiyah meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Pelakon dan usahawan, Raffi Hussain atau nama sebenarnya, Mohd Rofi Che Hussain pula menemui Ilahi sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-49 pada 14 Oktober kerana sesak nafas akibat serangan jantung di rumah ibunya, di rumah ibunya di Batu Caves, Gombak. Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zawinunie Mohd Ramly, 34, serta empat anak iaitu Mohd Warith Iqbal Putra, 6, Mohd Razafiq Putra, 11, Puteri Ratna Sari, 14, dan Mohd Indraputra, 15. Jenazah kemudian dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah.

Pemegang watak Tapa yang popular menerusi drama bersiri Rumah Kedai era 90-an, Sudiro Sukiman, 49, menyahut panggilan Ilahi kira-kira jam 12.15 tengah hari 17 Oktober disebabkan saluran injap jantungnya gagal berfungsi dengan baik. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang.

Bekas pemain gitar kumpulan rock terkenal, Lefthanded, Abdul Samat Mian, 45, pula meninggal dunia selepas terjatuh di pejabatnya di Taman Cahaya, Ampang kira-kira jam 12.40 tengah hari 23 Oktober. Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia jam 1.05 tengah hari akibat masalah jantung.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jami’il Huda, Hulu Langat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 13, Hulu Langat. Allahyarham yang dilahirkan pada 26 September 1963 di Johor Bahru, Johor meninggalkan seorang balu, Norliza Sumairi, 41, serta empat cahaya iaitu Alif Asyraf Syafiq, 18, Amad Ayunda Syaqim, 17, Alis Suhayana, 15, dan Amad Syafry, 6.

Pada 26 Oktober lalu, kita dikejutkan dengan pemergian ke rahmatullah anak angkat Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sabarudin Ramli atau Badim yang pernah muncul dalam filem Ahmad Albab ketika masih bayi. Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi di Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Desa Kaloi, Hulu Yam Baru. Allahyarham yang berusia 42 tahun meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair dan sebelum ini pernah menghidap penyakit batuk kering.

Pelakon dan aktivitis teater, Mohamad Nasir Ali, 55, pula meninggal dunia di rumahnya, di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, jam 3.45 pagi 31 Oktober lalu. Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis sejak empat tahun lalu tidak sedarkan diri ketika tidur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Kadariyah Yup, 55, dan empat anak, Darmawar Shahienas, 30, Nurulely Shafienas, 28, Nurul Ilya Shazannas, 25, dan Lelliyana Rus Shatznas, 18.

Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, 78, yang meninggal dunia pada 30 November di kediamannya di Jalan Sungai Kerai, Kuang, mengejutkan ramai pihak apabila dipercayai menjadi mangsa rompakan.

Namun, siasatan polis dan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah. Rekod perubatan lampau menunjukkan Allahyarham pernah mendapat rawatan di hospital berikutan diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu selain sakit tua. Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Tanggal 17 Disember, pewaris tunggal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nasir P Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 5.10 petang di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur berhampiran pusara bapa dan ibu tirinya, Saloma.

Allahyarham meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16. Manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar, mereka dikurnikan dua anak, Natasya, 23, dan Najua (Nadia), 22.

Walaupun pemergian mereka masih lagi berbekas di hati namun sumbangan insan berkenaan dalam memartabatkan industri seni tanah air akan terus dikenang. Sekalung takziah buat semua keluarga mereka bersama iringan doa dihulurkan buat yang tercinta. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah. Al-Fatihah.

Harian Metro

Keikhlasan Buka Hati Terima Lamaran Fareez

31 Dec

Oleh Rozdan Mazalan
[email protected]

Mazlin Abdul Samad

Mazlin tahu status penyanyi era 80-an duda anak dua

KEIKHLASAN dan kesungguhan yang tinggi menyebabkan Mazlin Abdul Samad, 24 bersetuju menerima lamaran penyanyi era 80-an, Fareez untuk menjadi suaminya. Mazlin berkata, sejak awal perkenalan dengan Fareez, dia sudah mengetahui status suaminya itu sebagai duda beranak dua dan menerimanya selepas melihat keikhlasan Fareez ingin menyuntingnya.

“Dia memang ikhlas ingin berkawan dengan saya ketika pertama kali berjumpa lagi. Dari situ saya juga nampak kesungguhannya sehinggakan dia sanggup mencari nombor telefon saya apabila saya enggan memberinya.

“Selepas mengenali melalui telefon dan berjumpa, dia menyatakan hasratnya untuk datang ke rumah saya berjumpa dengan ibu bapa bagi menyatakan hasratnya.

“Sebaik mendapat lamaran untuk menjadi suri dalam hidup Fareez, saya mendapatkan pandangan dan persetujuan daripada keluarga dan Alhamdulillah keluarga saya bersetuju untuk menyerahkan hal jodoh kepada saya,” katanya.

Sebelum itu, mereka pada 26 Disember dengan pengantin perempuan menerima mas kahwin RM80 dan hantaran RM12,000 berserta tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki serta berbalas 11 dulang daripada pihak perempuan.


Fareez dan Mazlin sibuk melayan tetamu yang hadir pada majlis ringkas mereka.

Sementara itu, bagi Fareez atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Tajuddin, 45 berkata, statusnya sebagai duda membuatkannya begitu teliti dalam memilih pasangan hidup.

Dia yang juga bekas suami kepada penyanyi lagu etnik kreatif terkenal, Noraniza Idris, mula berkenalan dengan Mazlin kira-kira setahun yang lalu di KLCC dan ia bukanlah pertemuan yang dirancang.

“Detik pertemuan kami bukanlah dirancang tetapi secara kebetulan kerana saya dan dia secara tidak sangka mempunyai rakan yang sama ketika satu pertemuan untuk berbincang suatu perkara.

“Secara jujur, bukannya mudah untuk saya mendekati Mazlin, walaupun saya puas meminta nombor telefonnya, namun Mazlin enggan memberinya. Akhirnya saya nekad untuk mendapatkan juga.


MAZLIN bahagia bergelar umi kepada kedua-dua anak Fareez, Aliff (kiri) dan Alfeeq.

“Pada mulanya dia terkejut apabila saya menelefonnya, saya terus nyatakan hasrat untuk berkenal rapat dengannya dan andai ada jodoh ingin menyunting Mazlin sebagai isteri,” katanya yang ditemui pada majlis kesyukuran sebelah pengantin lelaki di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur Ahad lalu.

Fareez dan Mazlin yang diijab kabulkan pada 19 Disember lalu di Masjid Al-Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur dan majlis persandingan sebelah pihak perempuan diadakan pada 26 Disember di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Menurut Fareez, tempoh setahun sudah cukup untuknya mengenali Mazlin dan menyunting gadis itu sebagai suri hidup.

Akuinya juga, apa yang menyebabkan dia terpikat dengan Mazlin sukar dijelaskan tetapi tahu si gadis mempunyai ciri-ciri diinginkan.

“Apabila mendapat persetujuan daripada Mazlin, saya membawanya untuk berjumpa dengan kedua anak saya Mohamad Aliff Haiqal, 19, dan Mohd Alfeeq Haikal, 15. Saya bersyukur mereka menerima Mazlin sebagai ibunya dan memanggilnya sebagai Umi. Bahkan, kami juga mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya.

Terdahulu, majlis persandingan Fareez dan Mazlin turut dihadiri oleh beberapa rakan seangkatan penyanyi itu seperti Nash, Den Wahab, Kairel Khamis, Mas Omar dan Ayati Tasrip.

Walaupun tidak bersanding dan hanya beramah-mesra dengan tetamu, Fareez dan Mazlin tetap ceria melayan keluarga dan rakan dengan mengenakan pakaian sedondon serba putih.

Ketika ditanya sama ada dia ada menjemput atau tidak bekas isterinya ke majlis perkahwinan itu, Fareez berkata dia mengambil pepatah orang lama, barang yang lepas, jangan dikenang.

Berita Harian

Kontroversi Bintang 2008

31 Dec

Oleh HARYATI KARIM,
FAIZAL SAHARUNI,
FERIDE HIKMET ATAK,
JESSABELL SOO dan
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

MENYINGKAP perjalanan arus dunia hiburan tahun 2008, cerita-cerita panas tidak pernah lekang di mana-mana dada akhbar.

Sehinggakan kontroversi yang dibangkitkan itu kadang-kala boleh merimaskan sesiapa sahaja yang menulis mahupun yang membacanya.

Ada saja perilaku artis-artis tempatan yang boleh membuatkan umum jelik dengan cara mereka. Tidak pula menuduh kebanyakan artis ini sengaja mencari publisiti murahan.

Namun tanpa disedari, kerana perilaku merekalah membuatkan nama mereka sedikit sebanyak tercalar dan ia mampu menjejaskan kredibiliti mereka sebagai seorang selebriti jika tidak pandai membawa diri.

Benar, untuk apa hebohkan cerita-cerita panas ini kepada umum jika tahu ia mampu merosakkan periuk nasi seseorang?

Percaya atau tidak, dengan pendedahan yang terpampang ini jugalah, ia memberi pengajaran besar buat semua, bukan sahaja selebriti yang mencetuskan kontroversi itu, bahkan selebriti-selebriti lain menjadikan isu berbangkit itu sebagai iktibar.

Antara isu berbangkit bermulalah dengan kontroversi Faizal Tahir membuka baju ketika mengadakan persembahan, kemudian pelakon popular, Beego pula bercerai dengan Intan, diikuti pula dengan penceraian aktres comel, Nora Danish, drama ‘teman tapi mesra’ antara Fahrin Ahmad dan Linda Onn dan baru-baru ini terbongkar pula tentang hubungan suami isteri yang sudah 10 bulan terjalin antara pelakon, Rita Rudaini dengan pemain bola sepak negara, Aidil Zafuan.

Hari ini, sebelum tutupnya tirai 2008, ingin Kosmo! memaparkan azam baru bagi tiga artis terpilih yang pernah mengejutkan khalayak dengan kontroversi yang ‘dihasilkan’ mereka.

Penuh dengan harapan dan sinar baru, tahun 2008 akan dijadikan sebagai pengajaran hidup untuk mereka terus bernafas dan bertahan dalam arena dunia hiburan pada 2009.

Norman Hakim ditangkap khalwat dengan Memey

BERCERITA mengenai kisah pelakon ini, sejak awal tahun lagi sudah ada isu Norman mempunyai hubungan istimewa dengan Memey. Masing-masing menafikan perhubungan itu, termasuklah Abby yang juga menafikan tentang hubungan cinta tersebut.

Namun, pada 30 Oktober iaitu dua hari selepas berita Norman dan Memey membuat kenyataan yang sebenarnya mereka kurang mengenali sesama sendiri, Norman dicekup oleh pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana.

Kontroversi ini juga dikatakan antara isu yang paling panas sepanjang tahun ini.

Menerima segala pendapat sekeliling, Norman tidak mahu perkara itu diingati kembali. Baginya, 2008 adalah tahun yang paling mencabar dalam hidupnya.

“Berkenaan tentang kes saya dan Memey, benda dah jadi, saya tak mahu berpaling semula. Kalau cerita kami dikatakan antara isu paling panas pada tahun ini, saya tidak mampu untuk berkata apa. Saya kena laluinya dan berhadapan dengan apa yang berlaku pada diri ini.

“Pada suku akhir tahun ini, memang saya rasa banyak dugaan yang terpaksa saya hadapi. Kalau kelemahan itu datang dari saya, saya anggap ia lumrah kehidupan dan pengajaran untuk saya.

“Jika bercerita tentang azam 2009, ia agak klise. Biasalah, semua orang mahu yang terbaik untuk diri masing-masing. Macam saya, hari-hari saya memasang azam dan impian. Cuma ada kalanya, apa yang kita lalui tidak seperti yang kita rancangkan.

“Pada masa akan datang, saya mahu hidup saya lebih gemilang dan kalau nak ikutkan sekarang ini saya berada di fasa kedua iaitu berkaitan dengan kehidupan dan perniagaan. Cuma apa yang diinginkan, saya mahu hari tersebut lebih baik daripada hari-hari yang saya lalui,” katanya.

Rosnah Mat Aris kahwin senyap

RASANYA, boleh dikatakan cerita ini menggemparkan seluruh Malaysia apabila pelakon sensasi, Rosnah Mat Aris, 53, bernikah dengan seorang jejaka muda, Tajul Efendie Isa, 27, pada 13 November lalu.

Bagaimanapun Rosnah tidak mengaku dia bernikah lagi. Sebaliknya, dia mengatakan majlis akad nikah yang diadakan di Masjid Seri Gombak itu adalah majlis nikah anaknya.

Cekal dengan tohmahan masyarakat, Rosnah tampil menjelaskan isu yang sebenar walaupun masih ramai lagi mengata perbuatan pelakon ini.

“Kebanyakan orang selalu salah faham dengan saya. Berkenaan dengan hal pernikahan saya, bukannya saya buat maksiat, tapi orang kecoh bercerita tentang saya.

“Masa itu saya mempunyai hal peribadi yang perlu diselesaikan. Saya rasa ketika itu belum lagi masa yang sesuai untuk mengumumkan tentang pernikahan saya.

“Saya sedih, kerana apa saja yang dilakukan, ada saja yang tidak kena di mata umum. Tapi nak buat macam mana, saya terima,” tuturnya pinta difahami.

Tambahnya, 2009 nanti, banyak perancangan yang akan dilakukan olehnya bersama suami tercinta. Mereka akan bergabung tenaga untuk membuka perniagaan berkaitan produk kecantikan.

Fasha Sandha diboikot

PERTENGAHAN Julai lalu, kecoh seketika apabila pelakon ini diboikot oleh semua akhbar tempatan kerana memaki hamun wartawan serta editor hiburan gara-gara melenting dengan gosip cintanya.

Bukan itu sahaja, dia juga dikatakan cuba merosakkan hubungan percintaan orang lain, mengganggu rumah tangga rakan artis, suka bertukar-tukar pasangan serta mengajar wartawan cara-cara menulis berita.

Tidak mahu lagi memandang ke belakang, Fasha menganggap, apa yang berlaku pada dirinya merupakan kesilapannya sebagai seorang manusia biasa.

Azam 2009, wanita ini mahukan kehidupan yang lebih baik berbanding yang sebelumnya. Segala kesilapan yang pernah dilakukan, Fasha jadikan ia sebagai pengajaran besar buatnya.

“Dalam hal kejadian itu (diboikot), siapa salah, tak penting. Saya anggap kesalahan itu datang daripada diri saya sendiri. Biasalah, manusia ini tidak sempurna.

“Azam baru saya kali ini, saya mahu memperbaiki segala kelemahan tidak kira dari segi kehidupan ataupun karier saya.

“Kalau nak tahu, jika boleh saya mahu tamatkan zaman bujang dalam tahun 2009 juga walaupun masih lagi belum ada calon,” ucapnya kepada Kosmo! yang baru saja menamatkan penggambaran drama bersiri Santau baru-baru ini.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

Dengarnya… Rozita Che Wan Nak Kahwin Tak Lama Lagi!

31 Dec

Oleh Normah Becok

Rozita Che Wan

KALAU sudah popular macam Cik Normah, cantik jelita pula, memang senang gosip datang singgah dalam hidup Cik Normah. Jangan cemburu yer. Selepas Mawi dan Ekin menamatkan zaman bujang, Cik Normah dapat tahu, tahun depan, nampaknya ramai lagi selebriti jelita dan meletup bakal menamatkan solo masing-masing. Tak kiralah yang bujang, janda atau duda, masing-masing sudah bertemu dengan pasangan yang dirasakan sehati dan sejiwa.

Dimulakan dengan Januari dengan perkahwinan pelakon Kisah Kaisara, Sariyanti dengan bakal suaminya, Eddy Casmady. Februari pula, umum sudah tahu dengan pengakuan Linda Jasmine dan Que Haidar yang merancang untuk bernikah pada Hari Kekasih.

Dan terbaru, Donna Marcella yang cukup terkenal sebab menjadi penyumbang kolum popular kelolaan Cik Normah ini ingin menyampaikan sebuah cerita. Tapi Cik Normah awal-awal lagi pesan pada Donna, jangan ada hati untuk ‘caras’ populariti Cik Normah.

Oh ya, pelakon cantik kelahiran Alor Setar, Rozita Che Wan dikhabarkan akan kahwin tidak lama lagi. Tapi Cik Normah tak nak sebut siapakah gerangan lelaki yang berjaya menawan hati wanita berbadan menggiurkan ini.

Apa yang pasti, Rozita sendiri tidak menafikan hatinya sudah dimiliki. Dia juga tidak pula menolak kemungkinan untuk bernikah lagi. Tak apalah Rozita. Perkara yang baik, buat apa nak ditangguh-tangguhkan. Satu lagi, kalau pasti hendak berumah tangga lagi, janganlah nak main sorok-sorok. Iyerlah, lagi disorok, lagi ramailah yang orang nak korek rahsia. Akhirnya cerita yang tak elok pula selalu keluar. Rozita juga yang susah nanti.

Cik Normah rasa Rozita berterus-terang saja, jangan takut, Cik Normah tak makan orang. Cik Normah dapat tahu, adik Rozita juga bakal bertunang Februari nanti, tapi jangan salah sangka, yang dimaksudkan itu bukan Ayu Raudah. Rozita tak teringin ke nak buat fotografi baju kahwin dengan kawan sepejabat Cik Normah?

Berita Harian

Dato Siti Bagai Permaisuri Sahara

31 Dec

Teks oleh Razif Rosdi
Foto ihsan Siti Nurhaliza Production (SNP)

Akhirnya penantian peminat yang menyukai lagu-lagu berentak tradisional terubat jua dengan kemunculan album terbaru Dato’ Siti Nurhaliza bertajuk Lantera Timur.

Album yang berkonsepkan etnik kontemporari ini sememangnya buah tangan terbaru dari Siti buat peminatnya yang menyukai Siti mendendangkan lagu berirama sebegini. Sudah tentu, Lantera Timur merupakan album yang amat bermakna buat isteri Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) ini selepas kali terakhir menghasilkan album tradisional  Sanggar Mustika.

Berdasarkan album sebelum ini, anak kelahiran Kuala Lipis ini sering menggunakan bahasa yang mendalam dan kali ini Lantera Timur menjadi pilihan berdasarkan maksudnya iaitu lampu atau cahaya Timur (Eastern Lantern).

“Melalui album ini, Siti mahu mengangkat budaya bangsa kita supaya terus berpaksikan kepada cahaya Timur. Siti harap album ini dapat mengubat kerinduan peminat yang mahukan Siti nyanyikan lagu tradisi.

“Yang paling istimewa, ada 9 lagu dalam album ini dihasilkan menerusi bengkel Cipta Ekspres MACP di Port Dickson pada Januari 2008 yang disertai ramai komposer dan penulis lirik tanah air. Kesemua lagu ini dihasilkan dalam tempoh singkat iaitu kira-kira 3 hari saja,” kata Siti.

Tambah menarik, 2 buah lagu lagi adalah hasil kreatif Katon Bagaskara serta ikon komposer lagu etnik, Pak Ngah Suhaimi.

Jangan ketinggalan mendengarkan lagu-lagu dalam album ini seperti Di Kayangan Kita (Johari Teh/ Keon), Bintang Malam (Johan Nawawi/ Amran Omar), Cinta Ini (Katon Bagaskara), Ada Masa Mata (M.Nasir/ Ad Samad), Bulan Yang Mesra (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali) dan Seloka Budi (Adnan Abu Hassan/ Azam Dungun).

Juga ada lagu Rasa Antara Kita (Khairil Johari Johar/ Zubir Ali), Senyum Minang Manis (Zul Mahat/ Abot), Joget Menanti Kasih (S.Atan/ Habsah Hassan), Di Taman Teman (Fauzi Marzuki/ Hairul Anuar Harun) dan Jelmakanlah Ayumu (Pak Ngah).

“Siti berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh semua penerbit. Tak kiralah yang terlibat secara langsung atau tidak. Siti amat berharap agar lagu dalam album ini dapat menyemarakkan kegemilangan lagu-lagu tradisional.

“Bagi Siti, kualiti adalah faktor utama dalam semua aspek penerbitan album ini termasuklah penggunaan live strings bagi kebanyakan lagu,” jelas Siti.

Menurut Siti lagi, walaupun lagu-lagu dalam album ini berirama tradisi, susunan muzik dibuat mengikut citarasa masa kini. Siti turut berpendapat dengan mengetengahkan konsep sebegini, ia boleh menjadi daya penarik untuk anak-anak muda agar terus mencintai lagu-lagu Melayu.

Album ini diterbitkan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd dan diedarkan oleh Suria Records (SRC) dalam bentuk cakera padat (CD). Ia sudah mula berada di pasaran pada penghujung Disember 2008. Apa yang menarik, inlay dalam album ini menonjolkan Siti dalam pelbagai busana, headgear (hiasan kepala) dan selendang.

Dengan imaginasi Siti dan pereka gayanya, penyanyi itu kelihatan seperti Cher, Sarah Brightman dan Permaisuri Sahara dalam hikayat silam.

 

Murai

ABPBH Hargai Pereka Fesyen

31 Dec

Oleh Zaidi Mohamad
[email protected]

HATTA (tengah) diapit oleh (dari kiri) Wan Sharmila, Liyana, Jue dan Ainul.

Majlis pengumuman pencalonan awal ABPBH2008 dimulakan dengan peragaan fesyen daripada personaliti dan artis muda

FESYEN dengan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ibarat dua perkara yang saling melengkapi. Saban tahun berlangsung, gaya dan tema yang dijelmakan ABPBH sejak tiga tahun lalu, terutamanya menerusi pembabitan pereka fesyen tempatan membuka ruang kepada mereka untuk menempa nama.

Sumbangan besar daripada mereka menjadikan penganjur mengadakan acara khas dinamakan Anugerah Pereka Popular ABPBH2007 dengan menampilkan sejumlah pereka yang hasil rekaan masing-masing diperagakan oleh barisan artis ketika acara karpet merah di kemuncak ABPBH2007 di Arena Of Stars, Genting pada Mac lalu.

Menerusi anugerah itu, pembaca yang menjadi rakan@BH boleh memilih calon pereka popular menerusi undian secara online dalam gerbang Berita Harian yang dijalankan dari Julai hingga Ogos lalu.

Hasil daripada undian itu, Hatta Dolmat dipilih sebagai pereka fesyen wanita popular menerusi rekaan yang digayakan oleh Julia Ziegler, manakala Kenny Loh (Lord’s Tailor) dan Michael Shu pula dengan hasil rekaan yang diperagakan oleh Mawi memenangi kategori pereka fesyen lelaki pular.

Pengumuman itu dibuat dalam majlis istimewa sempena pengumuman pencalonan awal ABPBH2008 yang diadakan di Hotel Palace of the Golden Horses, Sri Kembangan.


AARON AZIZ dengan rekaan Lord’s Tailor dan Julia Ziegler memperagakan rekaan Hatta.

Pereka fesyen yang menang bagi setiap kategori ini masing-masing menerima barang kemas Habib bernilai RM10,000 dan trofi. Julia Ziegler dan Mawi yang masing-masing memperagakan rekaan mereka turut membawa pulang hadiah yang sama. Bagaimanapun, Mawi tidak hadir di majlis ini.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Time Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun. Hadir sama ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan BHSB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah.

Bagi meraikan simbolik kepada kejayaan pemenang ini, Hip menggandingkan enam nama bintang muda yang semakin bersinar dan pantas menambat perhatian peminat seni tempatan iaitu Liyana Jasmay, Juliana Evans (Jue), Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli. Mereka antara model yang dijemput memperaga bagi segmen pertunjukan fesyen di majlis ini.

Liyana, Jue, Ainul dan Wan Sharmila cukup bertuah dan bangga diundang buat pertama kali menggayakan koleksi rekaan Hatta Dolmat, manakala Fizzo dan Kamal Adli tampak eksklusif dengan rekaan Lord’s Tailor. Mereka juga antara nama yang turut tersenarai dalam pencalonan awal ABPBH 2008.

Paling mencuit perhatian Hip ialah mengenai hubungan Liyana Jasmay dan Aizat yang diusik pengacara majlis sidang media pada petang itu iaitu Anne dan Ikhwal daripada Hot FM. Mungkin ada yang perasaan, bunga mawar hitam yang dipegang Liyana tiba-tiba dibaling dan disambut Aizat.

“Kami tidak ada apa-apa hubungan cinta. Selepas fotografi dengan B Pop, kami ditemukan lagi dalam sebuah penerbitan lain. Dia (Aizat) pernah menyanyi di majlis perkahwinan abang saya pada 16 Disember lalu.

“Saya memang boleh serasi sebab personalitinya membuatkan saya mudah mendekatinya. Dia berbakat, baik hati dan ada misi serta visi di dalam hidup,” kata Liyana akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta, Februari depan.

Seperti Liyana yang gembira menggayakan baju rekaan Hatta, Jue turut bersetuju dengan pandangan rakannya itu.

Kata Jue, dia sudah lama menyimpan impian untuk menyarung baju rekaan pereka fesyen itu dan pada penghujung 2008 barulah menjadi kenyataan.

Ketika ini dia sedang bercuti daripada sebarang aktiviti seni dan tidak lagi menjadi pengacara untuk program Remaja terbitan TV3 yang banyak memperkenalkan namanya di persada seni. Dalam nada kecewa, Jue memberitahu, kontraknya bersama program itu sepatutnya tamat April 2009.

“Terkejut juga apabila nama saya dan Aliff tiba-tiba digugurkan tanpa notis awal. Saya cuma dihubungi penerbit dan diberitahu tidak perlu lagi mengacara Remaja. Memang hasrat untuk tidak mengacarakan Remaja sudah lama saya fikirkan, tapi saya tidak pernah membayangkan kesudahannya begini,” katanya.

Bagi Wan Sharmila, selain pertama kali menggayakan rekaan Hatta, dia juga memberanikan diri untuk melakukan catwalk di pentas. Berusia 27 tahun, dia yang sudah bergelar isteri kepada penerbit bernama Fazli Baharom sejak 2006 mula berlakon sejak dua tahun lalu.

“Saya beranikan diri juga untuk ‘feeling’ buat catwalk dan menambah sedikit elemen lakonan, hasilnya saya yakin diri saja,” katanya yang kini sedang menghabiskan penggambaran drama Rona Roni Makaroni arahan Shahrul Ezad untuk siaran Astro Ria.

Seakan bermimpi, pelakon filem Histeria, Ainul Aishah ini tidak menyangka akan terpilih menggayakan busana ciptaan Hatta. Mengikuti perkembangan fesyen pereka fesyen comel itu, Ainul berasakan rekaannya penuh perincian dan bersifat couture.

“Hatta seorang yang sangat cool dan saya senang bekerjasama dengannya buat kali pertama. Dia cukup dikenali dengan rekaan sarat perincian dan mampu membuatkan siapa yang terpandang rekaannya, terpaku seketika,” ungkap Ainul yang bakal memulakan penggambaran sebuah drama untuk slot Lagenda Januari ini.

Komen pemenang

Pengarah Urusan Lord’s Tailor, Robert Loh

KAMI sentiasa memberi sokongan dan tajaan kepada mana-mana acara yang membabitkan selebriti sebagai contohnya ABPBH. Kemenangan ini menjadi penanda aras untuk kami terus berusaha menghasilkan kualiti pakaian yang lebih baik. Kami akan cuba melakukan yang lebih baik pada masa depan.

Hatta Dolmat

KEMENANGAN hadiah terbesar buat saya bersempena hari lahir ke-26 pada 19 Disember lalu. Tidak sangka penutup tahun ini begitu membahagiakan saya biarpun tahun ini saya tidak lepas dihimpit kontroversi itu, ini yang cukup menduga diri saya. Saya berharap sinar 2009 terus terpancar untuk saya menghasilkan rekaan lebih kreatif.

Michael Shu

UNTUK kemenangan ini, saya bekerjasama dengan Lord’s Tailor dengan membekalkan rekaan dan fabrik bermotifkan batik sesuai dengan tema ABPBH 2007. Saya memuji usaha Berita Harian menganjurkan ABPBH, kerana terbukti mampu memperkenalkan pereka fesyen tempatan ke peringkat lebih tinggi. Saya sudah mula terbabit dengan industri fesyen sejak 11 tahun lalu, namun sejak dua tahun kebelakangan ini baru saya mula dikenali dan ini semuanya atas bantuan Berita Harian.

Berita Harian

Dengarnya… Ekin Jadi Duta Tudung Ariani

31 Dec

Oleh Normah Becok

PERTAMANYA, Cik Normah nak minta maaf banyak-banyak kepada Ekin dan Mawi sebab tak dapat hadir majlis pernikahan di Johor Bahru dan persandingan mereka di kampung halaman Mawi di Felda Taib Andak. Kawan Cik Normah yang ditugaskan di sana, cakap majlis itu berjalan lancar dan meriah ‘gitu’.

Tahniah buat Wiwi dan Kikin yang sudah bergelar suami isteri. Wiwi dan Kikin ni adalah panggilan untuk mengusik mereka.

Bukan apa, Cik Normah sedang menghabiskan cuti tahunan di Milan, Paris tapi bukan dengan suami, sebaliknya dengan kawan baik Cik Normah yang tinggal di sana. Maklumlah, bukan selalu dapat peluang macam ini. Dulu, sewaktu Cik Normah terbabit dalam dunia peragaan, Cik Normah selalu berkongsi cerita dia. Tapi kami berpisah apabila kawan Cik Normah bersuamikan orang Itali.

Terlanjur Cik Normah menyebut kisah Kikin dan Wiwi, kawan Cik Normah yang baru balik dari Kulai, Johor itu memberitahu Mawi kini sudah dilamar menjadi duta koleksi tudung eksklusif Ariani. Kalau nak tahu, Ariani ini anak syarikat kepada Jakel, sebuah syarikat fabrik terkenal yang dimiliki sepenuhnya oleh Bumiputra.

Sudahlah mendapat tajaan fabrik syarikat itu, beberapa hari sebelum Wiwi dan Kikin bernikah, rezeki Kikin semakin murah apabila mendapat kontrak itu selama setahun dan insya-Allah akan dipanjangkan.

Baguslah ini satu permulaan yang baik buat Kikin, lagipun Wiwi pun sedang merangka perancangan untuk membuka sebuah butik busana muslimah untuk Kikin di Bangi menjelang tahun depan. Betul kata orang, apabila sudah berkahwin, rezeki kita sebenarnya semakin murah.

Berita Harian

Penyatuan Cinta 2008

31 Dec

BERMULA Januari 2008, kalendar dunia hiburan sudah mula diserikan dengan berita gembira perkahwinan artis tempatan. Sehingga bulan Disember, perkahwinan penyanyi popular Mawi dengan kekasih hati, Ekin menutup tirai tahun 2008 dengan penuh indah.

Mawi atau Asmawi Ani, 27, telah memilih tarikh 20 Disember untuk bernikah dengan Ekin atau Nor’Ashikin Rahmat, 29, di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Mereka dinikahkan oleh imam masjid tersebut, Datuk Mahat Mohd. Said dengan disaksikan oleh Kadi Daerah Johor Bahru, Syeikh Husni Tamrin Md. Sharif dan Imam Mahadi Yahya.

Tepat pada pukul 11.40 pagi, dengan hanya sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM22.50, Ekin sah menjadi isteri penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasi 3 (AF), Mawi.

Dilabelkan sebagai perkahwinan tahunan, bukan sahaja Mawi dan Ekin menamatkan zaman bujang mereka tahun ini. Selain perkahwinan gemilang Mawi-Ekin, berikut kronologi perkahwinan artis Malaysia sepanjang 2008.

Zila Bakarin dan Azri Izhar (11 Januari)
Ingin merahsiakan perkahwinan mereka pada mulanya, Zila Bakarin, 33, selamat diijabkabulkan kepada jurukamera syarikat produksi, Azri Izhar, 34, pada 11 Januari lalu di Masjid Azzubair Ibnul Awwam, Cheras.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid berkenaan, Bashri Abd. Majid dengan mas kahwin RM1,000. Mereka berkenalan sejak tujuh tahun lalu di lokasi penggambaran.

Ning Baizura dan Omar Sharif (31 Januari)
Mengenakan persalinan putih dan bertudung rekaan Jovian Mandagie, Ning Baizura berkahwin dengan Omar Sharif Christopher Layton Dalton, 34, yang juga duda beranak dua kelahiran England.

Omar telah memeluk Islam pada Julai 2007 setelah lebih setahun berkenalan dengan Ning. Majlis akad nikah mereka berlangsung di Masjid

Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar dan Ning menerima mas kahwin sebanyak RM80 selain tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran perkahwinan berjumlah RM66,666.66.

Khai dan Rosma (26 April)
Berkenalan dalam program realiti televisyen AF1, Rosmayati Sidik (Rosma), 23, dan Khairul Nizam Mohamad (Khai), 29, selamat dinikahkan di Masjid Putra pada 26 April lalu.

Dengan mas kahwin RM100 dan hantaran RM16,161.61, Khai sah menjadi suami Rosma selepas satu lafaz akad nikah. Terbaru Rosma juga dilaporkan sedang mengandungkan anak pertama mereka.

Maya Karin dan Muhammad Ali (14 Ogos)
Mereka telah melangsungkan majlis pernikahan di daerah kaki pergunungan di Lake Como, Itali pada 14 Ogos lalu. Dan bagi berkongsi memori indah ini bersama keluarga dan rakan rapat di Malaysia, Maya Karin dan suami, Steven Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali telah mengadakan majlis persandingan di padang bola sepak Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Kepong.

Maya berpakaian pengantin moden rekaan Radzuan Radziwill berwarna putih di samping suami tercintanya mengenakan baju Melayu berwarna hitam telah memilih lokasi ini kerana merupakan duta Taman Laut Malaysia dan seorang pencinta alam.

Lan Pet Pet dan Ruby (20 Ogos)
Pelawak yang popular menerusi Senario, Lan Pet Pet telah bercinta selama 14 tahun bersama Rubytah Abu Bakar @ Che Wan yang juga adik kepada pelakon popular Rozita Che Wan.

Dan pada 20 Ogos lalu, mereka telah memilih tarikh istimewa 20.08.2008 sebagai tarikh perkahwinan mereka. Pasangan ini bernikah di Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, Kedah dengan mas kahwin RM888 serta wang hantaran RM8,000.

Deja Moss dan Azfendy Azzudin (30 Ogos)
Selepas dua tahun membuatkan orang ramai berteka-teki mengenai hubungan mereka, Deja Moss atau nama sebenarnya Sharifah Khadijah Wan Moss, 35, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya Azfendy Azzudin, 29, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 30 Ogos lalu.

Dinikahkan dengan mas kahwin RM1,111 oleh Penolong Pendaftar Nikah masjid tersebut, Mohd. Nazarudi Mohd. Nadzir, pasangan ini berbulan madu di Chile.

Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari (8 November)
Pasangan Ashraf Sinclair dan Bunga Cinta Lestari bernikah di Masjid Al Bina, Jakarta pada 8 November. Majlis resepsi bahagian pengantin perempuan berlangsung di Hotel Sultan, Jakarta pada keesokannya.

Sementara itu, majlis resepsi pengantin lelaki diadakan di The Saujana Kuala Lumpur, khas untuk rakan-rakan di Malaysia. Dan majlis untuk keluarga dan sanak saudara pula berlangsung di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara (KGPA).

Rusdi Ramli dan Sharon Paul (16 November)
Setelah menduda selama 15 tahun, Rusdi Ramli, 38, yang bertemu dengan Sharon Anne Paul Abdullah, 32, tahun lalu semasa terlibat dalam pembikinan runut bunyi filem Waris Jari Hantu sah menjadi suami isteri pada 16 November lalu.

Majlis akad nikah mereka berlangsung di banglo galeri Creative Element, Shah Alam dengan dihadiri hampir 300 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan rakan. Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM800, senaskhah al-Quran, sirih junjung berserta sebentuk cincin.

Corrie Lee dan Fazima Mohamed Fuad (21 November)
Walaupun hanya mengenali dalam jangkamasa pendek, Corrie Lee atau nama Islamnya, Adam Corrie Lee, 40, telah memilih gadis pilihannya Fazima Mohamed Fuad, 30, sebagai isterinya.

Bernikah di Masjid Zahir, Kedah, isterinya yang berasal dari Lorong Terang menerima mas kahwin RM80 daripada Corrie dan wang hantaran sebanyak RM7,000.

Nabila Huda dan Zaidy Zailani (2 Disember)
Setelah tujuh tahun bercinta, Nabila Huda Suhaimi, 24, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Zaidy Zailani, 27, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta dengan dihadiri hampir 300 tetamu.

Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Amy Search atau nama sebenarnya, Suhaimi A. Rahman. Zaidy menyampaikan mas kahwin RM80 berserta wang hantaran berjumlah RM22,222.22.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

Minda: Evolusi Industri Muzik

31 Dec

Oleh Rudy Imran Shamsudin
[email protected]

Discovery Channel menerusi laporan khas menyatakan industri muzik dunia bakal berubah apabila aplikasi teknologi perkomputeran dan telefon bimbit digunakan sepenuhnya sebagai saluran utama bagi memasarkan lagu dihasilkan komposer.

Perkara ini dilakukan syarikat pengeluar komputer riba terkenal Apple menerusi aplikasi I-Tunes yang dibangunkan dan dipasarkan dalam tiga bentuk iaitu iPods, Macs dan iPhones.

Ternyata usaha dilakukan lima tahun lalu membuahkan hasil lumayan apabila Apple mencatat jualan mencecah RM5 bilion pada tahun pertama menerusi aplikasi dihasilkan.

Pendapatan diperoleh Apple menerusi pasaran muzik digital membolehkan royalti tinggi diagihkan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi.

Untuk tahun ini, Apple dijangka mencatat jualan lebih tinggi menerusi I-Tunes sehingga mencecah RM43 bilion sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada keuntungan syarikat pengeluar produk pengkomputeran itu.

Di Malaysia, pada saat kebanyakan syarikat rakaman mahupun penggiat industri muzik mengeluh membabitkan pasaran fizikal seperti album dan cakera padat tidak mendapat sambutan, penjualan lagu secara digital iaitu menerusi muat turun ke telefon bimbit dan internet terus mencatat peningkatan.

Sebelum ini, kebanyakan penggiat industri muzik bertelagah membabitkan kenyataan industri muzik tempatan semakin tenat dan diburukkan lagi dengan masalah cetak rompak.

Namun, tanpa disedari sebenarnya pasaran muzik menerusi muat turun dan internet mula memberikan keuntungan kepada syarikat rakaman dan penggiatnya dengan jualan keseluruhan RM20 juta sepanjang 2008.

Jumlah itu mewakili 25 peratus daripada pasaran besar industri.

Malah, kalau dihitung daripada penjualan single yang mencecah 450,000 unit menerusi muat turun dengan harga RM3 setiap satu, ia lebih menguntungkan daripada menjual album atau cakera padat dengan harga RM20 atau RM30 sekeping.

Sekiranya teknologi itu diguna pakai sepenuhnya, syarikat rakaman tempatan terhadap lagu dipasarkan, dalam masa lima tahun dari sekarang tidak mustahil kenyataan Pengerusi Majlis Muzik Malaysia (MMM), Datuk A Rahman Hassan, bahawa industri muzik mampu menjadi penyumbang ekonomi terbesar negara dengan pendapatan mencecah RM300 juta dalam masa tiga tahun bakal menjadi kenyataan.

Perkara itu dinyatakan Rahman ketika membentangkan kertas kerja berjudul Kerjaya Muzik Penjana Ekonomi di Seminar Seni Muzik Kebangsaan di Akademi Seni, Warisan dan Budaya (Aswara), Julai lalu.

Ia turut dipersetujui Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro, dengan menjelaskan pada saat Amerika Syarikat dan Eropah mencatat keuntungan besar menerusi teknologi itu, Malaysia masih lagi terkial-kial untuk menerimanya.

Bagaimanapun Sandy, sewaktu ditemui menjelaskan lima tahun lalu, walaupun masih baru, pasaran muzik digital sudah menyumbang kepada industri dua peratus.

Dalam tempoh itu, setiap tahun hingga sekarang, ia meningkat dengan pantas 15 hingga 30 peratus.

“Saya sudah mengenali teknologi itu lima tahun lalu sewaktu mengikuti seminar diadakan Sound Buzz di Singapura atas jemputan Creative Technologi yang menghasilkan alat sistem bunyi Zen.

“Dalam seminar itu, mereka menjangkakan dalam masa lapan tahun lagi, pasaran muzik akan berubah sepenuhnya dengan tiada jualan secara fizikal. Ini dianggap normal kerana kalau kita perhatikan setiap 25 tahun pasaran industri muzik akan berubah mengikut pengaruh perkembangan teknologi.

“Mengambil contoh, pada 60-an dulu kita ada piring hitam besar, kemudian kaset dan cakera padat dan sekarang pasaran melalui internet dan muat turun akan mengambil alih bentuk pasaran.

“Masalahnya dulu apabila balik ke Malaysia dan menerangkan kepada ahli mereka susah untuk menerimanya dengan alasan keberkesanan penggunaannya susah untuk dibuktikan dalam industri muzik tempatan.

“Saya faham dengan apa yang dinyatakan mereka kerana ada orang berlari pantas, ada orang suka berjalan dan tidak kurang juga merangkak. Tetapi kejayaan diraih Apple menerusi aplikasi dibangunkan saya rasa sudah berjaya membuka mata semua pihak,” katanya.

Begitupun, apa yang menjadi persoalan sekarang bagaimana RIM yang mewakili syarikat dan penggiat industri muzik untuk mengekang rakam rompak menerusi internet atau kaedah muat turun kerana ia lebih mudah dilakukan tanpa ada sebarang sekatan.

Selain itu, adakah RIM mempunyai undang-undang hak cipta membabitkan ‘media baru’ itu?

“Semua karya muzik dihasilkan dilindungi badan bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kita mempunyai undang-undang untuknya.

“RIM sendiri ada pegawai khas yang diberi latihan agar mereka faham apa itu digital dan langkah yang boleh diambil agar rakam rompak menerusi ‘media baru’ itu dapat dibendung.

“Kami mempunyai alat khas untuk mengesan sekali gus menutup laman sesawang yang cuba menjual karya muzik secara haram,” katanya.

Pembangunan industri muzik bersama teknologi maklumat itu dipercayai akan mengembalikan dunia muzik tempatan pada tempatnya. Malah, kini artis tidak perlu menunggu menghasilkan album, sebaliknya dengan satu lagu yang baik mereka sudah mampu mencatatkan keuntungan, sekali gus memastikan kelangsungan kerjaya dalam bidang seni.

“Jika sekarang 10 album payah hendak dihasilkan tetapi apabila teknologi itu sudah digunakan sepenuhnya, kita akan lihat dalam setahun akan lahir 40 hingga 50 karyawan baru. Ini membuka ruang lebih besar kepada masyarakat untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Sony Music (M) Sdn Bhd, Adrian Lim mengakui sepanjang 2008 pendapatan terbesar diperoleh syarikat rakaman itu menerusi pasaran digital yang menguasai 30 peratus pendapatan.

Jualan secara fizikal iaitu album dan cakera padat tidak berganjak dengan menyumbang pendapatan 15 hingga 18 peratus kepada Sony Music.

“Saya akui dalam tempoh lima tahun ini, jualan karya muzik menerusi digital meningkat dengan begitu pantas. Sehinggakan tumpuan harus diberikan terhadapnya dan menubuhkan satu jabatan khas untuk menanganinya,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut, kata Adrian, kutipan tertinggi diperoleh artisnya, Aliff Aziz menerusi lagu Sayang-Sayang yang dijual 450,000 unit single.

“Penjualan single lebih menguntungkan berbanding album kerana daripada RM3 diperoleh, seringgit akan diserahkan kepada syarikat telekomunikasi, seringgit untuk syarikat rakaman dan selebihnya royalti untuk komposer, penulis lirik dan penyanyi.

“Pada syarikat rakaman 100,000 unit single, keuntungan diperoleh menyamai 20,000 unit jualan cakera padat. Bayangkan kalau lima lagu dimuatkan dalam album jualannya menerusi digital mencecah satu juta, ia memberikan pulangan sangat baik kepada syarikat.

“Bagaimanapun jualan menerusi media baru itu, muat turun ke telefon bimbit yang kebanyakannya dikendalikan syarikat telekomunikasi terkemuka menjadi penyumbang terbesar dan selebihnya menerusi i-Tunes dan laman sesawang,” katanya.

Menyentuh aspek keselamatan, Adrian berkata, ia tidak akan berlaku kerana syarikat telekomunikasi mempunyai alat khas untuk mengelak daripada berlakunya cetak rompak atau penipuan dan setiap pembelian turut direkodkan.

Beliau yakin industri muzik tempatan akan kembali mengulangi zaman kegemilangan seperti dikecapi syarikat rakaman sekitar 90-an menerusi teknologi baru itu memandangkan sudah menjadi budaya hidup masyarakat dunia, termasuk di Malaysia.

Harian Metro

Design a site like this with WordPress.com
Get started