Oleh FAIZAL SAHARUNI
SELEPAS berita mengenai dirinya yang dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan bernama Datuk Shafik Rizaal Saaban dilaporkan, aktres jelita yang sering meraih kontroversi ini bagaikan ‘menghilangkan diri’ dari wartawan.

FASHA mengupah pengawal peribadi kerana ia satu keperluan.
Puas sudah menghubunginya dan menghantar SMS menerusi telefon-telefon bimbitnya supaya dia memberi ruang untuk mengulas mengenai gosip tersebut, namun si empunya diri ini seakan sudah melenyapkan diri, enggan sama sekali memberikan sebarang respons terhadap gosip tersebut.
Mungkin berusaha tidak mahu memanjangkan cerita bersama lelaki yang juga digelar Datuk S itu, Fasha Sandha memilih untuk mendiamkan diri sahaja biarpun pernah membuat kenyataan media secara ringkas bahawa dia dan Datuk S hanya kawan.
Sementara menunggu aktres berusia 24 tahun ini terbuka hati memulakan bicara secara panjang lebar tentang Datuk S, berikut ditampilkan sedutan reaksinya mengenai isu dirinya dan pengawal peribadinya.
Sejak Disember lalu, Fasha sentiasa dilihat berdampingan dengan seorang lelaki berwajah ‘bengis’ atau lebih mudah dikatakan pengawal peribadi walaupun ke mana jua dia berada.
Bagai penjenayah yang melakukan kesalahan besar, Fasha terus sahaja dikritik kononnya ‘mengusung’ jejaka yang sering memakai jaket tertera nama dia itu waima pergi membeli-belah.
“Ada kawan beritahu tentang laporan itu kononnya saya pergi beli-belah bawa pengawal keselamatan.
“Memang betul dia (pengawal keselamatan) ikut sewaktu saya hendak beli barang baru-baru ini. Tetapi saya rasa tak salah sebab ketika itu merupakan tempoh dia bekerja.
“Saya menjalani penggambaran pada hari tersebut, kemudian saya dapat waktu rehat sekejap.
“Sementara menanti masa itu, saya pun ambil keputusan keluar beli barang-barang bagi kegunaan penggambaran di lokasi dengan pengawal keselamatan,” beritahu Fasha.
Fasha sekali lagi menegaskan, dia bukan takut untuk keluar membeli-belah bersendirian, namun ketika itu adalah tempoh kerja bagi pengawal keselamatan menjalankan tugasnya.
“Sebab itu dia ada dengan saya,” berkali-kali terang Fasha mohon dimengertikan.
Pada hari-hari biasa atau sewaktu dia tidak bekerja, Fasha hanya selesa ditemani ahli keluarga dan teman-teman rapatnya sahaja.
Bercakap lebih lanjut tentang pengawal keselamatan yang memakai jaket tertera namanya, Fasha menjelaskan tulisan yang terpampang di bajunya itu bukan sengaja diletakkan untuk berbangga diri.
“Ia bukan nama saya, sebaliknya nama syarikat saya. Rasanya tidak salah bukan?” soal Fasha menjawab kewajaran pengawal peribadi itu memakai pakaian tertulis namanya.
Fasha jadi hodoh

FASHA dan Ady Putra dalam satu babak telefilem, Kehangatan Lantana.
Lelah wajah manisnya sentiasa dioles cantik sama ada muncul di skrin TV mahu pun layar lebar, Fasha kini muncul dengan sisi berbeza yang pastinya mengejutkan ramai.
Begitu mencintai lapangan yang diceburi ini, Fasha nekad untuk bereksperimen dengan pelbagai watak bagi menguji kemampuan berstatus pemain wayang popular di Malaysia.
Terbaru, anak kedua daripada empat beradik ini sanggup muncul dengan rupa ‘hodoh’ apabila membawakan watak Juwita dalam sebuah telefilem arahan Feroz Khan yang berjudul Kehangatan Lantana.
“Saya terima watak ini sebab karakternya paling berat berbanding lakonan saya sebelum ini.
“Mesej yang disampaikan dalam drama ini juga menjadi salah satu faktor saya berminat melakonkan watak Juwita.
“Kalau selama ini peminat sering cakap saya pegang watak baik dalam lakonan, inilah masanya nak buktikan saya juga boleh bawa watak antagonis,” ulas Fasha.
Itulah kelebihan aktres tinggi lampai ini. Meskipun dihampiri bermacam kontroversi yang seakan tiada pengakhiran, Fasha tidak pernah sesekali menoktahkan tugasnya sebagai pelakon.
Empat jam bersolek
Bukannya mudah transisi merobah rupa wanita jelita bak Fasha kepada wajah tua dan kelihatan buruk semata-mata memberi impak berkesan di hati penonton.

WAJAH jelita yang sering meraih kontroversi panas.
Dan kenangan itulah yang dilalui Fasha apabila dia sanggup mengorbankan kecantikan yang dimilikinya selama ini untuk disolek dengan rupa hodoh selama empat jam.
“Saya kena datang awal ke lokasi penggambaran semata-mata mahu menyiap diri dengan karakter Juwita melalui hasil kerja juru mekap, Vanitha.
“Ia jadi pengalaman baru untuk saya. Wajah saya diletakkan lateks. Memang sakit dan memedihkan, tapi saya tak kisah andai ia betul-betul dapat menyokong lakonan saya,” luah Fasha.
Uji kemampuan Fasha
Terus bercerita lebih lanjut tentang watak itu, beritahu Fasha, Juwita adalah bekas Ratu Cantik tahun 1994 yang fobia dengan kecantikan dan begitu risau andai suaminya lakonan Ady Putra ada pengganti baru.
“Juwita sanggup lakukan apa saja untuk suaminya sampaikan dia nekad menyihir lelaki itu.
“Itulah yang menjadikan saya benar-benar nak terlibat dalam produksi ini,” ucap Fasha berterus-terang.
Drama yang bakal bersiaran di TV3 31 Mei hari ini mengambil masa selama lapan hari penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.
Jelas Fasha lagi, dia gembira dapat bekerjasama dengan pengarah muda berbakat besar seperti Feroz Khan yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan bagi menjayakan karakter Juwita.
“Feroz tawarkan watak ini semasa saya sedang jalani setengah daripada penggambaran drama 13 episod, Jangan Main Belakang yang akan menemui penonton tidak lama lagi.
“Dia (Feroz) punyai sepenuh keyakinan terhadap bakat dan kemampuan saya untuk menjadi Juwita.
“Saya cukup terharu dengan peluang yang diberikan apatah lagi Feroz yakin dengan kebolehan saya membawakan watak jahat,” jelas Fasha panjang lebar.
Menyambung hujah tentang kelebihan drama ini, tutur Fasha, dia menganggap Kehangatan Lantana sarat dengan tema tersendiri yang dapat dijadikan iktibar buat audiens.
“Drama ini membangkitkan pelbagai isu termasuk aspek keagamaan, kesetiaan terhadap suami dan golongan wanita yang tidak dapat terima hakikat dirinya sudah lanjut usia,” ungkap Fasha.

Dalam pada itu, pengarah drama ini, Feroz Khan memberitahu, selain mesej berguna yang cuba disalurkan kepada khalayak, Kehangatan Lantana yang diterbitkan Meom Entertainment Sdn. Bhd. itu juga menampilkan kelainan pada teknik solekan.
“Saya mendapatkan khidmat juru mekap tempatan, Vanitha yang banyak timba pelajaran tentang gaya solekan khas di Hollywood bagi menonjolkan rupa tua dan buruk bagi watak Fasha
“Tempoh dua hari kami beri tumpukan pada solekan. Ia bagi memperlihatkan karakter Juwita yang sakit dari semasa ke semasa bertukar rupa.
“Selain itu, adegan Ady Putra semasa dia bermimpi masuk ke alam barzakh menjadi cabaran untuk menyiapkan tele drama ini.
“Waktu itu Ady Putra yang pegang watak sebagai Hakim memakai kain kapan dan masuk ke liang lahad. Kami jalani penggambaran di kubur pada waktu malam. Ia jadi pengalaman mendebarkan buat seluruh krew produksi. Apa-pun saya rasa bersyukur sebab semua berjalan lancar tanpa hadapi sebarang masalah,” ujar Feroz.
Powered by Kosmo
You must be logged in to post a comment.