Oleh Jamliah Abdullah
CHRISTIAN Dior barangkali sedikit terpinggir di karpet merah Anugerah Academy di Hollywood pada Mac lepas.
Tetapi sebaliknya label Dior yang berprestij itu kembali menyerlah di Festival Filem Cannes, Perancis baru-baru ini.
Festival filem yang berlangsung selama 12 hari itu menyaksikan bagaimana Dior mendominasi karpet merah Cannes pada setiap acara daripada majlis tayangan filem, parti hingga ke malam gala iaitu majlis penyampaian anugerah.
Begitu juga pelbagai label Dior daripada busana anggun, barang kemas hingga ke aksesori diperagakan oleh bintang terkenal yang menghadiri festival tersebut.
Tidak ketinggalan adalah solekan daripada koleksi musim panas/bunga daripada Christian Dior Parfum yang menambah glamor pada celebrity terbabit di karpet merah.
Festival filem seperti di Cannes selalunya dikaitkan dengan majlis yang kasual. Lantas apa yang digayakan pada karpet merah Cannes juga lebih ringkas tetapi ia tidak bererti kurang gaya glamor mereka.
Apatah lagi dengan padanan aksesori yang bernilai lumayan. Dior tidak ketinggalan untuk mencipta gaya itu bagi celebrity yang kebanyakannya terdiri daripada bintang-bintang Hollywood.
Kehadiran lebih banyak bintang itu di karpet merah Cannes sejak beberapa tahun kebelakangan tentu saja antara alasan utama kenapa ia menjadi begitu menyerlah sekali.
Banyak bintang menggayakan koleksi Dior termasuk aktres cantik, Charlize Theron.
Pada malam gala Cannes 2004 itu untuk Charlize yang ke pentas menyampaikan anugerah, dia mengenakan busana anggun hijau muda yang seksi.
Gaun ilham pereka Dior, John Galliano yang mendedahkan bahagian bahu Charlize itu dipadankan bersama aksesori berupa sandal label Dior.
Bintang Kill Bill: Vol 2, Uma Thurman yang ditemani pengarahnya merangkap ketua panel juri Cannes 2004, Quentin Tarantino juga menggayakan gaun busana anggun Dior.
Gaun biru bersulam butiran kristal untuk sedikit gaya mewah itu juga rekaan khas Galiano untuk Uma. Pada tayangan filem Kill Bill 2, Uma turut memakai jaket Dior daripada Galliano.
Aktres sensasi, Penelope Cruz kelihatan menawan dengan busana anggun berwarna krim yang digayakan dengan beret dan aksesori Dior.
Ketika hadir untuk tayangan filem Breaking the News, aktres Kelly Chen mengenakan busana anggun gaun sutera Dior yang bergaya mewah.
Kelly yang seksi itu juga mengayakan anting-anting berlian Provocante rekaan Victorie de Castella daripada koleksi barang kemas Dior.
Aktres Liz Hurley tidak ketinggalan memilih untuk menggayakan koleksi Dior. Cuma barangkali gaun sifon berwarna ungu, motif harimau bintang itu kelihatan agak janggal untuk Liz.
Antara yang berterusan menggayakan koleksi Dior sepanjang festival itu adalah aktres Olivia Magnani, Emmanuelle Beart, Eva Herzigova, Mia Maestro dan Marisa Paredes.
Olivia tampil dengan pakaian sutera sifor berwarna merah jambu yang ditambah anting-anting berlian dan koleksi cincin Miss Dior.
Gaya ceria tetap ada walaupun harus menyusuri karpet merah yang sinonim dengan gaya glamor itu.
Itu adalah Eva yang memadankan gaun sifon Dior dengan selendang bulu berwarna merah jambu pucat.
Bukan Dior saja label jenama Eropah yang menyerlah di Cannes 2004.
Seperti kebiasaan, selain Dior, karpet merah Cannes 2004 turut dihiasi dengan busana anggun rumah fesyen terkemuka seperti Versace, Chanel, Louis Vuitton, Valentino dan Chloe.
Ia digayakan oleh bintang terkenal seperti Jennifer Aniston, Sharon Stone dan Sofia Coppola.
Seperti juga suasana musim panas/bunga yang indah dengan warna-warna ceria kebanyakan koleksi itu juga bernuansa senada.
Utusan Malaysia