Pergi ke kandungan

Usyabti

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Memphis, 500 SM – Sekumpulan patung pelayan pengebumian usyabti atas nama Neferibreheb, Louvre-Lens
Empat usyabti Khabekhnet dan kotaknya; 1279–1213 SM; batu kapur dicat; ketinggian usyabti: 16.7 cm; Muzium Seni Metropolitan
Patung Usyabti, Muzium Albert Hall

Usyabti (juga dikenali sebagai syabti atau syawabti, dengan beberapa ejaan yang berbeza; Jawi: ‏اوشبتي‎‎) merupakan patung pengebumian Mesir purba. Istilah Mesirologi ini berasal daripada perkataan Mesir 𓅱𓈙𓃀𓏏𓏭𓀾 wšbtj, yang menggantikan 𓆷𓍯𓃀𓏏𓏭𓀾 šwbtj yang lebih awal, mungkin nisbah bagi 𓈙𓍯𓃀𓆭 šwꜣb (pokok persea).[a]

Usyabti diletakkan di dalam makam dengan barang pengebumian dan bertujuan untuk menjadi pelayan atau orang suruhan bagi si mati, sekiranya mereka dipanggil untuk melakukan kerja buruh di alam selepas mati. Patung-patung ini sering membawa cangkul di bahu dan memikul bakul, menunjukkan usyabti-usyabti ini diharap akan bertani untuk si mati. Ia biasanya mempunyai tulisan hieroglif pada bahagian kaki.[2][3] Ia tertera dengan inskripsi yang menegaskan kesediaan mereka untuk menjawab panggilan para dewa untuk bekerja.[4]

Amalan menggunakan usyabti bermula pada zaman Kerajaan Lama Mesir (s. 2600 hingga 2100 SM), dengan kepala simpanan bersaiz sebenar daripada batu kapur, yang ditanam bersama mumia.[5] Kebanyakan usyabti adalah kecil, dan banyak dihasilkan dalam jumlah yang banyak – kadangkala memenuhi lantai di sekeliling sarkofagus. Usyabti yang luar biasa adalah lebih besar, atau dihasilkan sebagai karya agung yang unik.

Usyabti dihasilkan dalam kuantiti yang banyak sepanjang sejarah Mesir. Bersama-sama skarab, ia antara artifak Mesir purba yang paling lazim dan sering muncul dalam pameran muzium.

Koleksi Patung Usyabti, Muzium Albert Hall, Jaipur

Etimologi dan penggunaan istilah

[sunting | sunting sumber]

Istilah syabti digunakan untuk patung-patung ini sebelum Dinasti Kedua Puluh Satu Mesir, tetapi hanya selepas berakhirnya Tempoh Perantaraan Pertama Mesir (s. 2181–2055 SM), dan sebenarnya hanya untuk patung-patung yang tertulis dengan Bab Enam daripada Kitab Orang Mati. Jika tidak, ia lebih baik dilabelkan dengan istilah generik "patung pengebumian".

Syabti merupakan patung pelayan yang melaksanakan tugas-tugas yang diperlukan oleh si mati di alam bawah tanah. Nama pemiliknya perlu ditulis pada usyabti, bersama ungkapan yang mengarahkan mereka untuk bertindak, ditulis dalam tulisan hieratik.[5]

Syawabti pula kelas patung pengebumian yang berbeza di kawasan Thebes semasa zaman Kerajaan Baharu Mesir.

Istilah usyabti menjadi lazim selepas Dinasti ke-21 dan terus digunakan sehingga Kerajaan Ptolemaik.

Ada yang berpendapat bahawa usyabti bermaksud "pengikut" atau "penjawab" dalam bahasa Mesir purba, kerana patung itu "menjawab" bagi pihak si mati dan melakukan semua kerja harian untuk tuannya di alam selepas mati yang telah dirancang oleh para dewa untuk mereka,[6] namun sukar untuk mendamaikan bentuk terbitan ini dengan bentuk syawabti.[7]

Inskripsi

[sunting | sunting sumber]
Kotak usyabti di Muzium Mesir Rosicrucian

Inskripsi usyabti sering mengandungi bab ke-6 daripada Kitab Orang Mati, yang diterjemahkan sebagai:

Terangilah Osiris [nama si mati], yang kata-katanya adalah kebenaran. Salam, Patung Syabti! Jika Osiris [nama si mati] ditetapkan untuk melakukan apa-apa kerja yang perlu dilakukan di Khert-Neter, biarlah segala yang menghalang disingkirkan daripadanya – sama ada untuk membajak ladang, atau mengisi saluran dengan air, atau membawa pasir dari Timur ke Barat. Patung Syabti menjawab: "Aku akan melakukannya, sesungguhnya aku di sini apabila engkau memanggil".[8]

(Contoh: si mati Ramses akan menjadi "Osiris Ramses").

Jarang-jarangnya berlaku, bab-bab yang berbeza daripada Kitab Orang Mati akan ditulis. Tambahan pula, usyabti sering menyebut nama dan gelaran pemiliknya, tanpa jampi daripada Kitab Orang Mati.

Sebelum ditulis pada patung pengebumian, jampi tersebut ditulis pada beberapa keranda pertengahan Dinasti Kedua Belas dari Deir el-Bersha (kira-kira 1850 SM) dan dikenali hari ini sebagai jampi 472 dalam Teks Keranda.[9]

Penggunaan

[sunting | sunting sumber]
Usyabti dengan pakaian pengebumian linen. Dinasti ke-19, Heracleopolis Magna

Disebut untuk kali pertamanya dalam jampi 472 Teks Keranda, uysbati termasuk dalam barang pengebumian si mati sebagai patung kecil sejak pemerintahan Mentuhotep II dari Dinasti ke-11 Mesir.[10] Ada yang berpendapat bahawa asalnya ia mungkin menggantikan pengebumian korban manusia secara simbolik, yang dipanggil pengorbanan pengiring. Namun, teori ini agak mustahil kerana berabad-abad telah berlalu antara pengebumian korban terakhir yang diketahui dan kemunculan usyabti.[perlu rujukan] Usyabti secara amnya dibezakan daripada patung-patung lain dengan ditulis nama si mati, gelarannya, dan sering kali dengan jampi 472 Teks Keranda[6] atau ucapan patung usyabti yang terdapat dalam Bab Enam Kitab Orang Mati.

Dalam Dinasti ke-18 semasa pemerintahan Akhenaten, patung-patung itu ditulis dengan persembahan yang ditujukan kepada cakera matahari, dewa Aten, dan bukan ungkapan tradisional patung usyabti. Usyabti dipercayai akan hidup secara ajaib selepas si mati dihakimi, dan bekerja untuk si mati sebagai buruh pengganti di ladang Osiris. Bermula dari zaman Kerajaan Baharu Mesir, ia sering disebut sebagai pelayan.

Dari Tempoh Perantaraan Ketiga (Dinasti ke-21), usyabti menjadi lazim dan banyak terdapat di dalam kubur. Di sesetengah makam, lantainya dilitupi dengan begitu banyak patung usyabti; di makam lain, usyabti disusun rapi ke dalam kotak usyabti. Kadangkala, beberapa ratus usyabti diletakkan di dalam makam si mati Mesir purba, tetapi firaun mempunyai jauh lebih banyak pelayan ini daripada rakyat biasa, dengan raja Taharqa mempunyai lebih daripada seribu.[11] Sesetengah makam mempunyai usyabti penyelia atau 'reis' yang memegang cemeti, yang bertanggungjawab ke atas sepuluh usyabti setiap satu (sepuluh ialah bilangan yang biasa dalam pembahagian pekerja, contohnya dalam tentera). Penyelia ini menjadi jarang ditemui semasa Tempoh Lewat.

Makam Tutankhamun mempunyai banyak usyabti dengan pelbagai saiz, dan kebanyakannya berhias indah dengan pernyataan dalam hieroglif.[12] Usyabti-usyabti tersebut dibahagikan kepada kumpulan: ada yang memuliakan dewa-dewa berbentuk Osiris, bersalut emas; ada yang lebih ringkas daripada kayu, atau faiens.

Bentuk dan bahan

[sunting | sunting sumber]

Usyabti kebanyakannya berbentuk mumia, tetapi semasa pemerintahan Thutmose IV dari Dinasti XVIII, ia mula dibentuk sebagai pelayan dengan bakul, guni dan alat pertanian lain. Sesetengah usyabti mempunyai bentuk dan warna yang sangat cantik apabila diperbuat daripada enamel.[13] Ia juga diperbuat daripada tanah liat, kayu dan batu[6] dan yang awal kadangkala diperbuat daripada lilin. Patung-patung terkemudian sering diperbuat daripada bahan yang kurang mudah rosak: batu, terakota, logam, kaca dan, yang paling kerap, tembikar berlapis (faiens Mesir). Walaupun usyabti yang dihasilkan untuk orang kaya sering nampak seperti karya seni miniatur, kebanyakan yang standard adalah usyabti murah—dibuat daripada satu acuan tanpa banyak perincian. Tahap kestandardan ini berbeza-beza; satu kajian komposisi dan morfologi usyabti faiens mencadangkan bahawa usyabti-usyabti ini bukanlah dikeluarkan sebagai pengeluaran besar-besaran. Sebaliknya, lebih tepat jika ia dikatakan diproses sekelompok demi sekelompok.[14]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Usyabti Individu

[sunting | sunting sumber]

Patung Pengebumian Lain

[sunting | sunting sumber]
  1. ↑ "Persea" yang digunakan di sini adalah nama Yunani Purba untuk Mimusops laurifolia—pokok asli Mesir dan tanah tinggi Ethiopia—bukannya nama genus moden Persea. [1]
  1. ↑ Gale, R.; Gasson, P.; Hepper, N.; Killen, G. (2000). "Wood". Dalam Nicholson, P.; Shaw, I. (penyunting). Ancient Egyptian Materials and Technology. Cambridge University Press. m/s. 334–371. ISBN 978-0521452571.
  2. ↑ Taylor (2000), m/s. 114
  3. ↑ Teeter, E (October 1998). "Harry M. Stewart. Egyptian Shabtis". Journal of Near Eastern Studies: 299–300. doi:10.1086/468658.
  4. ↑ ushabti. (2003). In The Macmillan Encyclopedia.
  5. 1 2 Taylor (2000)
  6. 1 2 3 Brier (1998), m/s. 186
  7. ↑ Wendy Doniger, Merriam-Webster's Encyclopedia of World Religions, Merriam-Webster 1999, p.1121
  8. ↑ Papyrus of Ani; Egyptian Book of the Dead
  9. ↑ Coffin Text 472 in A. Gardiner, Egypt of the Pharaohs: An Introduction, p.32
  10. ↑ Ian Shaw, The Oxford History of Ancient Egypt, Oxford University Press 2003, p.170
  11. ↑ R. N. Longenecker, Life in the Face of Death: The Resurrection Message of the New Testament, Wm. B. Eerdmans Publishing 1998, p.28
  12. ↑ 27 ushabti yang berbeza (semuanya diberi gelaran), kerajang emas, hieroglif berbilang lajur, hingga ke faience biru ringkas. James (2000), m/s. 111–127
  13. ↑ "Relics of Ancient Egypt". 1916. The Lotus Magazine. 7 (5): 213-214.
  14. ↑ Whitford, Michelle F.; Wyatt-Spratt, Simon; Gore, Damian B.; Johnsson, Mattias T.; Power, Ronika K.; Rampe, Michael; Richards, Candace; Withford, Michael J. (2020-10-01). "Assessing the standardisation of Egyptian shabti manufacture via morphology and elemental analyses". Journal of Archaeological Science: Reports (dalam bahasa Inggeris). 33 102541. Bibcode:2020JArSR..33j2541W. doi:10.1016/j.jasrep.2020.102541. ISSN 2352-409X. S2CID 224873688.
  • Brier, Bob (1998). The Encyclopedia of Mummies. Checkmark Books. ISBN 978-0-8160-3906-7.
  • Gale, R.; Gasson, P.; Hepper, N.; Killen, G. (2000). "Wood". Dalam Nicholson, P.; Shaw, I. (penyunting). Ancient Egyptian Materials and Technology. Cambridge University Press. m/s. 334–371. ISBN 978-0521452571.
  • James, T.G.H. (2000). "List of Objects". Tutankhamun. Photographs by Araldo de Luca. Friedman/Fairfax Publishers. m/s. 316–319. ISBN 1-58663-032-6.
  • Taylor, Richard (2000). "SHABTI (USHABTI, SHAWABTI)". Death and the Afterlife: a cultural encyclopedia. California: ABC-CLIO. m/s. 320–321. ISBN 978-0-87436-939-7.

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Stewart, Harry M. (1995). Egyptian Shabtis. Princes Risborough. ISBN 978-0-7478-0301-0.
  • Whelan, Paul (2007). Mere Scraps of Rough Wood?: 17th - 18th Dynasty Stick Shabtis in the Petrie Museum and Other Collections. London: Golden House. ISBN 978-1-906137-00-7.
  • Whitford, Michelle F.; Wyatt-Spratt, Simon; Gore, Damian B.; Johnsson, Mattias T.; Power, Ronika K.; Rampe, Michael; Richards, Candace; Withford, Michael J. (October 2020). "Assessing the standardisation of Egyptian shabti manufacture via morphology and elemental analyses". Journal of Archaeological Science: Reports. 33 102541. Bibcode:2020JArSR..33j2541W. doi:10.1016/j.jasrep.2020.102541. S2CID 224873688.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]